fb fb fb fb fb

RUU Pekerja Gig lulus, bukti komitmen kerajaan perjuang kebajikan pekerja gig

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 September - Seramai 1.2 juta pekerja gig menerima manfaat apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 lulus secara rasmi di Dewan Negara, sekali gus memberi perlindungan menyeluruh terhadap golongan tersebut

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam sesi perbahasan berkata keputusan tersebut merangkumi aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak mereka sebagai sebahagian tenaga kerja dalam ekonomi negara.

Fokus seterusnya terarah kepada pewartaan dan penguatkuasaan akta berkenaan, selain menandakan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan serta perlindungan sosial pekerja gig di negara ini.

"Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sudah turun padang meredah lapangan berhempas-pulas memastikan semua suara didengari penyelarasan juga telah dibuat ke atas draf asal berikutan maklum balas daripada pemegang taruh pelbagai pihak. RUU ini sudah versi yang terbaik, sebaik mungkin pada masa sekarang dan dapat pengiktirafan daripada pihak-pihak yang pakar dan pemegang taruh.

"Kaum pekerja pekerja gig bukan sekadar jentera ekonomi, jauh lagi hamba kepada golongan pemodal, mereka adalah pembina bangsa dan nusa. Kita perlu rehat dan gaji yang bermaruah", katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Negara.

RUU itu mengandungi 112 fasal dalam 10 bahagian menerusi penekanan empat aspek utama iaitu penetapan definisi pekerja gig, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan pendapatan dan syarat kerja, mekanisme penyelesaian pertikaian serta perlindungan keselamatan sosial.

Tambahnya, sepanjang proses tersebut, hampir 40 sesi libat urus dengan penglibatan 4,000 pemegang taruh dilaksanakan, dengan lebih 500 maklum balas dalam talian diterima.

ROSLINA BINTI DIN