fb fb fb fb fb

RUU dengan penambahbaikan berhubung kesalahan menghendap akan dibentang

(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi
Institusi), Ramkarpal Singh/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 8 Februari- Satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kesalahan menghendap akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, dalam satu kenyataan berkata memorandum itu dengan penambahbaikan akan dibentangkan menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Hasil semua sesi libat urus itu, saya mencadangkan penambahbaikan kepada draf RUU itu bagi memastikan penekanan diberikan kepada kesalahan ini secara holistik dan merangkumi semua aspek perundangan.

"Kedua-dua RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen akan datang, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

Katanya, sebelum ini, kedua-dua RUU itu sudah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022, manakala bacaan kali kedua dan ketiga pada 3 Oktober 2022.

"Ia diluluskan selepas mendapat undi lebih suara daripada seramai 192 Ahli Dewan Rakyat yang hadir.

(FOTO HIASAN)

"Namun, berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, RUU ini tidak dapat dibentangkan di Dewan Negara pada sidang Parlimen yang sama dan perlu dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang akan datang," katanya.

Beliau berkata, sejak bulan lalu, pelbagai sesi libat urus diadakan bersama banyak pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Women's Aid Organisation (WAO) dan juga Badan Peguam Malaysia bagi meneliti semula peruntukan kedua-dua RUU itu.

Ramkarpal berkata kerajaan tetap komited dalam usaha mewujudkan undang-undang berhubung kesalahan menghendap.



Media Baharu