BERA, 7 Mei - Hampir 40,000 Keluarga Malaysia hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera, di Laman Kerayong Bera.
Sambutan yang bermula pukul 9 pagi itu menyajikan pelbagai hidangan tradisional rakyat Pahang dari pelbagai daerah.
Kebanyakan pengunjung yang hadir berasa teruja dengan penganjuran rumah terbuka berkenaan, setelah dua tahun tidak dapat menikmati suasana perayaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
"Saya hadir dengan keluarga, anak dan isteri, pernah datang kerana keluarga saya di sini. Kali ini agak meriah lebih besar daripada sebelum ini, kita punya Ahli Parlimen sudah jadi Perdana Menteri, lebih meriah Alhamdulillah," kata Mohd Ikmal Hakim Mohd Zainal ketika ditemui RTM.
"Sebelum PKP ada jamuan macam ini, kita selalu datang, jamuan Perdana Menteri memang meriah. Selepas beberapa tahun semua gembira, makanan pun sedap," menurut Sundra Muthusamy.
"Saya memang tak pernah terlepas, cuma dua tahun sebelum ini PKP tidak ada. Sangat meriah sebab saya tengok ramai orang datang hari ini Alhamdulillah. Kebiasaannya orang datang jarang-jarang, kali ini serentak, memang cukup ramai dan meriah," jelas Hairul Izwan Ishak.
(Ismail Sabri beramah mesra dengan pengunjung dan meninjau juadah yang disediakan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera)
Pelbagai juadah sinonim dengan sambutan hari raya khususnya makanan Pantai Timur seperti lemang, ketupat palas, rendang, nasi dagang dan laksa lemak disajikan kepada pengunjung menerusi 32 buah gerai.
Penganjuran rumah terbuka yang berlangsung selama lima jam itu, turut menyaksikan pengunjung dihiburkan dengan lagu-lagu raya.
Sementara itu, esok Perdana Menteri menjemput semua Keluarga Malaysia untuk hadir beramai-ramai ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Laman Sari Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.