KUALA SUNGAI BARU, 8 April- Rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri Melaka akan diadakan pada Syawal ke-4, 25 April di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia diadakan bermula pukul 8.00 malam sehingga 12.00 tengah malam.
Penganjuran rumah terbuka di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tetap diteruskan mengikut jadual yang akan dikongsikan menjelang Aidilfitri nanti.
"Di jemput semua rakyat Melaka datang meraikan hari raya negeri Melaka di MITC pada pukul 8.00 malam sehingga 12 tengah malam.
"Di DUN-DUN akan berjalan seperti biasa, dijadualkan program meraikan hari raya dengan majlis rumah terbuka dan perhubungan negeri akan meraikan semua majlis di peringkat negeri di rumah pengerusi perhubungan negeri dan dijadikan sebagai Rumah Terbuka Aidilfitri Perhubungan UMNO Peringkat Negeri Melaka," katanya.
(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan Majlis Tautan Kasih 2023 di Universiti Melaka, di sini.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Tambahnya, Rumah Terbuka Aidilfitri Perhubungan UMNO Peringkat Negeri Melaka juga akan diadakan, namun ia akan diberitahu kemudian.