fb fb fb fb fb

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perlis meriah

KANGAR, 9 Mei - Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perlis berlangsung dengan meriah dalam suasana Keluarga Malaysia apabila dikunjungi lebih 20,000 masyarakat berbilang kaum.

Kemeriahan sambutan berikutan lebih dua tahun masyarakat tidak dapat berkumpul dalam satu majlis yang besar berikutan penularan COVID-19.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri ini, lebih 40 menu disediakan kepada pengunjung yang hadir, antaranya daging rusa, pulut harumanis dan pelbagai juadah dari 25 jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Program yang berlangsung mulai pukul 11 pagi dan berakhir pukul 4 petang tadi.


(Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ditemu bual media pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perlis) 

"Cukup memberangsangkan, pertemuan saya dengan beberapa orang tetamu tadi, mereka merasakan amat berpuas hatilah dengan hidangan dan juadah yang dihidangkan pada hari ini, nampaknya semua orang gembira sebab setelah hampir tiga tahun tak dapat bersama, kali ini dapat bersama-sama dan nampaknya keceriaanya pun luar biasa, Alhamdulillah," kata beliau ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perlis yang diadakan di Dewan 2020, di sini.

Berangkat memeriahkan sambutan Aidilfitri ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Bersempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tersebut, kerajaan negeri turut memberikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang hadir.

Media Baharu