
BACHOK, 1 April – Tindakan pantas seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mengejutkan ibunya ketika kebakaran berjaya menyelamatkan mereka sekeluarga dalam kejadian di Kampung Sri Sentosa, Beris Kubor Besar, pagi tadi.
- Ibu sempat menyelamatkan kedua anaknya sebelum rumah sewa musnah dijilat api.
- Wang simpanan RM1,500 untuk deposit motosikal dan RM400 untuk perbelanjaan turut hangus.
- Ibu tunggal bersyukur mereka terselamat walaupun cedera ringan di dahi, mulut dan tangan kiri.
- Bomba tiba di lokasi, kawal kebakaran kira-kira sejam kemudian, struktur kayu menyebabkan 80 peratus rumah terbakar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Nor Maizuara M. Raduan berkata, dia sedang tidur di ruang tamu tingkat dua bersama seorang lagi anaknya, Muhammad Aqil Firdaus Abdul Aziz, 18, sebelum dikejutkan anak bongsunya, Muhammad Amir Al Farizqi.
Menurutnya, sebaik terjaga, dia terkejut apabila mendapati api sedang marak dari salah sebuah bilik di rumah tersebut.
Wanita itu segera bertindak menyelamatkan kedua-dua anaknya sebelum rumah yang disewanya sejak tiga tahun lalu itu musnah dijilat api.
“Ketika kejadian saya sedang tidur bersama anak-anak sebelum anak kecil mengejutkan saya. Bila sedar, api sudah marak dan bahang sangat kuat sehingga memusnahkan hampir keseluruhan rumah.
“Saya hanya sempat selamatkan anak-anak. Wang simpanan untuk bayaran deposit motosikal sebanyak RM1,500 dan RM400 untuk perbelanjaan anak ke Kuantan bagi mencari kerja turut hangus,” katanya.
Nor Maizuara yang juga ibu tunggal berkata, dia bersyukur kerana mereka terselamat walaupun mengalami kecederaan ringan di bahagian dahi, mulut dan tangan kiri akibat bahang api.
Dalam kejadian itu, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kebakaran turut merosakkan sebuah kereta Proton Satria milik keluarga.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zamizi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.13 pagi.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian.
“Ketika pasukan tiba di lokasi, rumah dua tingkat jenis separa kekal itu telah terbakar kira-kira 80 peratus berikutan struktur binaan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu,” katanya.