KUCHING, 19 Januari- RTM Sarawak komited dalam memastikan stesen tersebut terus menjadi yang terbaik dan sentiasa memberi perkhidmatan yang diinginkan masyarakat.
Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat berkata, ia bagi membuktikan RTM terus kekal relevan dan diminati, seterusnya menjadi yang paling dipercayai.
"Untuk tahun ini kita akan ada beberapa program secara bersepadu antara stesen di Kuching dengan stesen-stesen kawasan melibatkan program berskala sederhana dan besar.
"Ini memberi gambaran RTM ini satu, 34 stesen dengan satu suara,"katanya ketika Program Gotong Royong Perdana RTM Kuching, hari ini.
Mengulas mengenai gotong-royong, Wan Azhan berkata, persekitaran positif dan bersih dapat membangkitkan aura yang positif selain mengeratkan silaturahim antara kakitangan RTM Kuching.
Program gotong-royong pagi tadi dimulakan dengan acara senamrobik, amanat Pengarah Penyiaran Sarawak dan taklimat gotong-royong.
Turut diadakan, Pesta Makan Buah-Buahan Tempatan anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi RTM Kuching yang dijadualkan petang ini.