PUTRAJAYA, 15 Januari- Mesyuarat pemukiman menteri-menteri luar sempena Kepengerusian ASEAN 2025 akan diadakan di Langkawi, Kedah pada 18 dan 19 Januari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata untuk itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertindak menjadi penyiar rasmi manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai penyelaras media rasmi.
"Ini adalah mesyuarat mesyuarat pertama. BERNAMA akan bertugas sebagai penyelaras media rasmi manakala RTM akan menjadi penyiar rasmi bagi sepanjang program program kepengerusian ASEAN.
"Ini sudah pasti adalah satu kebanggaan untuk kita dan kita akan menjadi hos yang baik kepada semua delegasi sepanjang tahun ini," katanya.
Lebih 200 delegasi asing dijangka menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi yang akan berlangsung mulai Sabtu.
Tambahnya, pemukiman itu adalah mesyuarat pertama yang membuka tirai Kepengerusian ASEAN 2025.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan kemudahan yang diperkenalkan sebagai persediaan Malaysia mempengerusikan ASEAN termasuk lorong khas untuk delegasi rasmi kini telah siap.
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan aktiviti dan mesyuarat berjalan lancar walaupun terdapat kelewatan dalam Projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambahnya, sempena kempen Visit Malaysia 2026 juga, beliau memberi jaminan bahawa kemudahan serupa akan turut disediakan untuk tujuan tersebut.