
PUTRAJAYA, 20 Januari -Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bermula secara rasmi hari ini dengan tumpuan utama memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, fleksibel dan mampan.
- RPTM 2026–2035 fokus perluas akses pendidikan tinggi lebih inklusif, fleksibel dan mampan.
- PTPTN sediakan pendidikan percuma kepada pelajar keluarga miskin tegar, penerima eKasih ditingkatkan.
- Usaha tangani kekurangan penginapan pelajar dan galakkan pembelajaran merentas universiti serta kerjasama industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, antara komponen utama pelan itu ialah penyediaan pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar.
“Jumlah penerima daripada kumpulan eKasih akan ditingkatkan kepada 10,000 pelajar, berbanding 5,800 sebelum ini.
Ini bermakna pelajar daripada keluarga miskin tegar akan mendapat pembiayaan penuh untuk melanjutkan pengajian tanpa mengira kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Selain pembiayaan, kerajaan turut memberi jaminan untuk menangani isu kekurangan penginapan pelajar di universiti dan politeknik yang dikenal pasti berdepan keperluan mendesak.
Usaha itu termasuk kerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta universiti holding bagi membina lebih banyak kediaman pelajar di kampus terlibat.
Dalam masa sama, RPTM 2026–2035 memperkenalkan pendekatan pembelajaran lebih fleksibel, termasuk konsep pengajian merentas universiti dan kerjasama industri.
Menerusi pendekatan itu, pelajar dibenarkan mengikuti kursus di beberapa institusi serta menjalani latihan berasaskan keperluan industri bagi tujuan peningkatan kemahiran.
“Pendidikan tinggi tidak lagi terikat kepada satu kampus atau satu laluan sahaja.
Pelajar boleh membina kelayakan melalui gabungan kursus daripada universiti berbeza dan industri,” jelasnya lagi.