KUALA LUMPUR, 30 September - Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini (30 September), menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan melalui pendekatan penyasaran subsidi, BUDI95 membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
“Bawah BUDI95, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi tersebut dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” menururt kenyataan itu.
Bagi permulaan, harga runcit RON95 akan kekal pada harga RM2.60 seliter untuk bulan Oktober 2025
Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter; harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi warganegara Malaysia bawah BUDI95 ditetapkan pada RM1.99 seliter; dan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.
Sementara itu, dalam tempoh sama harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter.
Manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada paras RM2.93 seliter; dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Bagi pemandu e-hailing, Kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) bagi mengenalpasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan untuk petrol bersubsidi,” tamba kenyataan itu.
Kementerian Kewangan (MOF) bersama APAD akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan pihak EHO minggu ini.
Kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah and Sarawak layak untuk harga bersubsidi.
“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan Kerajaan Negeri berkenaan bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga bersubsidi BUDI95,” menurut kenyataan itu.