KUALA LUMPUR, 9 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus beri bayangan kemungkinan berlaku rombakan kabinet dalam masa terdekat.
Perkara itu menurutnya dibuat mengambil kira tempoh setahun Kerajaan Perpaduan dan mungkin akan melibatkan golongan teknokrat.
Beliau yakin pakar yang dilantik kelak mampu menyumbang ke arah pembangunan negara.
"Pada masa singkat ini akan ada rombakan untuk adakan satu pasukan yang lebih kuat. Saya akan lebih bebas dan tegas menarik teknokrat atau pakar-pakar dan membantu kementerian.
"Saya tidak akan tolak ansur dalam isu tatakelola dan cita-cita kita angkat martabat negara ini untuk menjadi negara hebat di rantau ini,"katanya.
Datuk Seri Anwar berucap pada majlis makan malam tahunan Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) di ibu negara.