JOHOR BAHRU, 9 Disember - Kira-kira RM82 juta diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bagi membina Program Residensi Rakyat (PRR) pertama di Larkin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata,
projek itu berkonsepkan pembangunan bersepadu dengan pengurusan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
Projek tersebut bakal menjadi rumah transit untuk anak muda yang menetap di bandar raya ini dan kini dalam proses tender.
"Harga sewa yang dikenakan cukup rahmah. Sebagai contoh, di kawasan Larkin, sewa rumah tiga bilik biasanya kira-kira RM2,000, namun kerajaan menetapkan kadar RM600 untuk unit tiga bilik dan RM200 untuk unit satu bilik bagi membantu anak muda yang baru bekerja atau baru berkahwin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Vista Tiara di Danga Bay, Johor Bahru.
Menurutnya, pembinaan PRR dijangka bermula pada suku pertama 2026, membabitkan keluasan lebih 3 hektar dan bakal dilengkapi 300 unit.
Beliau turut menjelaskan kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini berada pada 76.5 peratus, menunjukkan tahap kestabilan sosial dan ekonomi yang semakin kukuh.
Jumlah itu akan dipertingkatkan menjelang Rancangan Malaysia ke-13.