KUALA LUMPUR, 24 Julai - Seramai 8.5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah direkodkan dengan sejumlah RM4 bilion telah disalurkan menerusi pembayaran STR Fasa 1 dan Fasa 2.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), terdapat baki dua fasa bayaran STR yang akan dibuat pada Ogos 2025 dan November 2025.
"Kerajaan telah meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion daripada RM10 bilion.
"Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, hari ini.
MOF menyatakan demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkenaan jumlah peruntukan kewangan yang telah diagihkan bagi 2024 untuk program SARA.
Sementara itu, bagi program SARA, setakat 14 Julai lalu, lebih 4.9 juta penerimanya telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis-premis berdaftar.
Angka itu mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 92 peratus secara keseluruhan bagi bulan keempat pengkreditan.
"Jumlah penerima SARA juga telah ditingkatkan secara signifikan daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula April lalu, sekali gus memperluas capaian bantuan bersasar kepada mereka yang benar-benar memerlukan." kata kementerian itu.
Tambah MOF, Perlis mencatat kadar penggunaan tertinggi bagi program SARA tahun ini, dengan 96 peratus tuntutan direkodkan.
Negeri-negeri lain yang turut menunjukkan kadar penggunaan tinggi diikuti Sabah, Kedah, Kelantan dan Terengganu masing-masing pada kadar 95 peratus.
Jelas MOF, pihaknya kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan tunai kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup.