(Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media selepas merasmikan program Riuh Ek! Keluarga Malaysia)
BATU PAHAT, 5 Mac - Negeri Johor mencatatkan jumlah penerimaan Point of Presence (PoP) paling tinggi menerusi pemancar yang dibina di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelan JENDELA fasa satu memberi 55 PoP kepada penduduk kawasan sekitar manakala sasaran sebanyak 568 PoP dijangka selesai dipasang pada Fasa Dua Pelan JENDELA.
Bilangan itu menjadikan sejumlah 623 PoP akan ditempatkan dalam negeri Johor dengan perbelanjaan kira-kira RM934 juta.
"Selain daripada itu usaha-usaha menaikkan, membina 222 pemancar baharu di Johor, 109 telah siap, 113 dalam proses pembinaan dan pada masa ini sasaran untuk mencapai 413,000 rumah atau pun premis yang mendapat perkhidmatan melalui gentian optik yang mana sekarang ini 246,901 telah pun siap dan 166,593 lagi yang sedang dalam pembinaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Riuh Ek! Keluarga Malaysia di Arena Warna, Ayer Hitam, di sini malam tadi.
Sebanyak RM4.11 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf kualiti serta jaringan digital di seluruh negeri itu.
(Tan Sri Annuar Musa merasmikan program Riuh Ek! Keluarga Malaysia di Arena Warna, Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor)
Terdahulu, Annuar sempat meluangkan masa melawat gerai jualan barangan kreatif, buah-buahan, persembahan seni dan muzik, bengkel kreatif, pameran seni serta kios jualan serta menyantuni orang ramai yang menghadiri program Riuh Ek!.
Ayer Hitam, Johor menjadi lokasi pertama jelajah Program Riuh Keluarga Malaysia pada tahun 2022.
Program yang diadakan selama tiga hari tersebut bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.
Program anjuran Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) itu turut komited mempergiatkan semula landskap industri kreatif tempatan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 sejak wabak itu melanda pada tahun 2020.