fb fb fb fb fb

RM316 juta laksana projek atasi banjir pantai Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

MIRI, 27 Julai-Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM316 juta bagi melaksanakan projek mengatasi banjir pantai Sarawak bagi melindungi penduduk di pesisir pantai daripada kejadian banjir dan hakisan pantai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek berkenaan melibatkan 17 lokasi di enam bahagian di Sarawak iaitu Betong, Samarahan, Kuching, Mukah, Limbang dan Miri meliputi pesisiran pantai sepanjang 40 kilometer.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberitahu projek itu akan memanfaatkan 45,000 penduduk di pesisir pantai serta 6,000 hektar kawasan agrikultur dan 300 hektar kawasan industri.

“ Yang ini nanti keseluruhan projek ini yang enam bahagian yang kita katakan tadi dalam proses sebenarnya untuk proses tender.

"Jadi ini akan dimuktamadkan diharapkan proses tender dapat dimuktamadkan tahun ini dan pelaksanaan harap akan dapat dilaksanakan tahun hadapan", katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Lima Projek Siap Jabatan Pengairan dan Saliran kepada Kerajaan Sarawak di Lutong, di sini.

Tambahnya, bagi Bahagian Miri pula, ia membabitkan lima lokasi iaitu di Pantai Lutong, Pantai Bungai Bekenu, Pantai Peliau Bungai, Pantai Kampung Kuala Sibuti dan Pantai Bakam.

Beliau berharap agar projek-projek ini dapat memberi impak maksima kepada kesejahteraan rakyat sekali gus meransang ekonomi Sarawak di samping mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD