
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi optimis kebolehpasaran belia tahfiz dapat dipertingkatkan menerusi pendekatan integrasi hafazan al-Quran, kelayakan akademik dan kemahiran industri yang dilaksanakan MARA.
- RM30 juta diperuntukkan melalui Industrial Boot Camp MARA untuk melatih 720 pelajar tahfiz dalam kemahiran profesional dan teknikal.
- Program menawarkan pensijilan diiktiraf industri dan laluan kompetensi alternatif yang tersusun.
- Pelajar dibimbing dalam bidang seperti kejuruteraan, AI, IoT, robotik dan kenderaan elektrik.
- Kerjasama dengan MNC sediakan pendedahan industri, latihan berstruktur dan peluang penempatan kerjaya.
Menurut beliau, sebanyak RM30 juta diperuntukkan menerusi program Industrial Boot Camp (IBC) MARA yang menyasarkan 720 pelajar tahfiz mengikuti latihan kemahiran profesional dan teknikal.
Program itu menawarkan pensijilan yang diiktiraf industri selain menyediakan laluan kompetensi alternatif yang lebih tersusun.
Katanya, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu ketidaksepadanan kemahiran dalam kalangan lepasan tahfiz.
“Mereka ini bukan sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah disalurkan untuk mengikuti kursus profesional dalam pelbagai bidang khususnya kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), robotik dan kenderaan elektrik (EV).
“Sebahagian daripada mereka mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di UniKL MIAT, dan didapati mereka cukup fokus serta cepat menguasai subjek berkenaan, katanya selepas perasmian Perhimpunan Gen Huffaz Teknorat MARA 2026.
Tambah beliau, kebolehpasaran graduan tahfiz turut diperkasa melalui kerjasama strategik dengan syarikat multinasional (MNC) yang menyediakan pendedahan industri, latihan berstruktur serta peluang penempatan kerjaya selaras keperluan sektor berteknologi tinggi.
Dalam masa sama, permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang AI, IoT, robotik dan aeroangkasa ketika ini jauh mengatasi penawaran sedia ada, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada golongan huffaz untuk menyertai industri berimpak tinggi.