fb fb fb fb fb

RM30 juta diperuntuk bagi pelaksanaan LiKES

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Sebanyak RM30 juta diperuntuk bagi pelaksanaan inisiatif Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES).

Peruntukan diberi bertujuan memperkemas ekosistem pelaksanaan program latihan amali serta pembayaran elaun kepada pelatih industri secara lebih sistematik.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, inisiatif itu julung kalinya diperkenal bagi mendukung sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus memupuk bakat muda negara.

"Kita sedar, untuk syarikat kecil mereka mungkin lebih cenderung kepada geran padanan berbanding dengan insentif potongan cukai. Ini juga merupakan dapatan daripada kajian oleh Talent Corp. Untuk syarikat besar mampu bayar dengan lebih tinggi, tapi untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana mereka lebih cenderung dengan konsep geran padanan.

"Justeru geran padanan ini diumumkan buat kali pertama untuk latihan amali", katanya kepada media selepas melancarkan Geran Padanan Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil Dan Sederhana (LIKES) di ibu negara.

Inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada 30,000 pelatih industri di seluruh negara.

LiKES menawarkan elaun latihan industri selama enam bulan dan permohonan terbuka kepada PKS dan syarikat permulaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan kebenaran penggunaan baki levi syarikat sehingga 50 peratus bagi pembayaran dan pelaksanaan program latihan amali di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

ROSLINA BINTI DIN