fb fb fb fb fb

Ringgit mata wang berprestasi terbaik dunia, 3 bulan lalu

Foto hiasan

SHAH ALAM, 1 Oktober- Ringgit Malaysia diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di peringkat global sejak tiga bulan lalu.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam tempoh tiga bulan, ringgit mengukuh sebanyak 11 peratus, mengatasi mata wang lain di seluruh dunia.

Tambahnya, Malaysia berpotensi menjadi negara berpendapatan tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 jika semua pihak memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi ringgit.

"Sebenarnya kita sebagai sebuah negara telah membuktikan bahawa kita mampu, nak tak nak kita terpaksa terima faktanya, contohnya ialah Ringgit Malaysia adalah mata wang yang paling baik dalam seluruh dunia dalam tempoh tiga bulan yang lepas. Maksudnya liga kita bukan lagi liga di sini. Kita menunjukkan kita mampu naik jadi yang paling tinggi dalam dunia", katanya.

Jelas Rafizi, prestasi ringgit mencerminkan pengurusan ekonomi dan dasar strategik kerajaan.

Beliau berucap semasa sesi libat urus Rancangan Malaysia Ke-13 Kementerian Ekonomi bersama kerajaan negeri Selangor 2024 di Shah Alam, hari ini.

Katanya, prestasi mata wang pula tidak dinilai berdasarkan nilainya sahaja, tetapi juga diukur sama ada ia mengukuh atau melemah pada masa tertentu.

ROSLINA BINTI DIN