fb fb fb fb fb

Ribut Tropika Jelawat: Terengganu mungkin dilanda banjir gelombang ketiga

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Terengganu bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir gelombang ketiga yang dijangka bermula Jumaat hingga 26 Disember ini susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Ribut Tropika Jelawat dari Filipina dijangka berlaku dalam tempoh tersebut.

Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menasihatkan penduduk di kawasan berisiko terutama pesisir pantai dan pedalaman sentiasa mengambil langkah waspada serta berhati-hati sepanjang musim berkenaan.
 
"Gelombang ketiga mungkin pada tarikh 22 hingga 26 Disember ini ekoran daripada Ribut Jelawat Filipina dicampur dengan angin tropika.

"(Ia dijangka) membawa kesan agak serius, kita akan mengalami hujan yang agak 'berat' sikit, jadi kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati terutama yang duduk di persisir pantai.

"Jika betul berlaku, ia bukan sahaja (membawa) hujan, tetapi juga angin yang agak kuat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan PETRONAS bagi penduduk terjejas banjir di Pantai Timur menerusi Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 di sini.
 
Sumbangan itu disampaikan kepada 1,500 keluarga terjejas banjir di Terengganu yang disampaikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
 
PETRONAS turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api bernilai RM10,000 untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan.
 
Sementara itu, situasi banjir di negeri tersebut bagi gelombang kedua yang bermula Khamis lalu telah pulih sepenuhnya tengah hari tadi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA