Residensi Maarof ganti Perumahan Awam Sri Pahang di Lembah Pantai

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mac -Pembangunan perumahan di Parlimen Lembah Pantai terus diberi perhatian termasuk projek pembangunan semula Perumahan Awam Sri Pahang yang bakal digantikan dengan projek Residensi Maarof.

RINGKASAN BERITA AI
  • 777 unit sedia ada akan digantikan dengan 843 unit baharu, lebih luas, selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan.
  • Perbincangan berjalan mengenai kos setem tinggi, Datuk Bandar dan Kementerian Kewangan bersedia bantu penyewa, jangka pindah suku ketiga atau suku keempat.
  • Tapak SMK Seri Pantai akan dirobohkan, sekolah baharu 36 bilik darjah akan dibina; kerja-kerja roboh dijangka bermula Mei atau Jun.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, melalui pembangunan tersebut, sebanyak 777 unit rumah sedia ada akan digantikan dengan 843 unit kediaman baharu yang lebih luas, selesa serta dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Kita juga sedang berbincang dengan pihak Datuk Bandar untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti kos setem yang terlalu tinggi dan Datuk Bandar menyatakan kesediaan untuk bekerjasama termasuk dengan Kementerian Kewangan untuk membantu penyewa perumahan awam Sri Pahang untuk Insya-Allah berpindah ke Residensi Maarof Kita jangkakan pertengahan ataupun dalam suku ketiga. Paling lewat suku keempat tahun ini,” katanya.

Datuk Fahmi berkata demikian pada Majlis Iftar Perdana Lembah Pantai 2026, selepas menyampaikan sumbangan baucar pasar raya bernilai RM150 kepada 1,200 penduduk Lembah Pantai yang layak, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembangunan di Lembah Pantai turut melibatkan sektor pendidikan apabila tapak lama SMK Seri Pantai akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah sekolah baharu dengan 36 bilik darjah.

Kerja-kerja merobohkan bangunan lama dijangka bermula sekitar Mei atau Jun ini berdasarkan maklumat terkini daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan.