fb fb fb fb fb

Remaja perempuan maut tertimbus dalam perigi

(FOTO HIASAN)

KUANTAN, 23 Disember- Seorang remaja perempuan maut selepas tertimbus tanah ketika berada di dalam perigi bersebelahan rumahnya di Lanchang, Temerloh petang tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada bapa mangsa pada pukul 3.34 petang.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11.00 pagi, lelaki itu telah meminta anaknya berusia 15 tahun untuk masuk ke dalam perigi sedalam kira-kira 3 meter yang baru digali bagi membaiki gelung, namun secara tiba-tiba dinding perigi tersebut telah runtuh dan menimbus mangsa. 

"Mangsa telah berjaya dibawa keluar daripada perigi tersebut dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya .

Mohd Azhar berkata mayat remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. 

"Siasatan terperinci akan dijalankan dan keterangan saksi yang berkaitan akan diambil bagi melengkapkan siasatan," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak mereka serta menjauhi kawasan berisiko dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kini. 

“Sebarang kemalangan yang disebabkan kecuaian ibu bapa, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. -BERNAMA


(Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff)

Media Baharu