fb fb fb fb fb

Remaja pelatih Akademi Bola Sepak Negara dikhuatiri lemas

BALING, 24 Mac- Seorang pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 tahun, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Ketil, Baling Kedah petang tadi.

Ketua Zon 3 Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali menerusi kenyataan memaklumkan setakat jam 10 malam tadi operasi mencari dan menyelamat mangsa, Mohd Saiful Izzudin Mustaffa, 14 tahun dihentikan sementara.

Namun pihak bomba masih berada di lokasi kejadian melakukan pemantauan bersama pihak polis .

"Bomba menerima panggilan berlaku kejadian terbabit berdekatan Kampung Padang Temu, Batu 48, Baling kira-kira pukul 4.16 petang.

"Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa dianggarkan jatuh pada jam 1 petang semasa mandi sungai bersama rakan-rakan," katanya.


(Bomba ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa, Mohd Saiful Izzudin Mustaffa yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Ketil, Baling)

Difahamkan, rakan-rakan mangsa yang gagal mencari mangsa kemudiannya memberitahu ahli keluarga Mohd Saiful sebelum kehilangan dimaklumkan kepada pihak bomba.

Beliau berkata, operasi mencari digerakkan, tetapi berdepan kesukaran berikutan hujan lebat dan arus deras.

"Kemungkinan mangsa hanyut jauh sekiranya tidak tersangkut. Cuaca gelap turut menyukarkan operasi mencari dan menyelamat," katanya.

Dalam pada itu, sumber daripada laman Facebook AMD memberitahu Mohd Saiful Izzudin antara pelatih bawah 14 dan 15 tahun AMD Yang sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman masing-masing bermula 19 hingga 27 Mac ini.

Media Baharu