fb fb fb fb fb

Rebat dan pelarasan cukai, galak peralihan kepada EV - MITRANS

Pengarah Malaysia Institute of Transport (MITRANS), Profesor Madya Dr. Wan Mazlina Wan Mohamed

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Usaha menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) diperhebat menerusi rebat dan pelarasan cukai seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, baru-baru ini.

Langkah itu selari dengan hasrat kerajaan ke arah mencapai sasaran karbon sifar seawal tahun 2050.

Selain itu, ia bagi menangani isu perubahan iklim dan pencemaran, hasil pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal.

Menurut Pengarah Malaysia Institute of Transport (MITRANS), Profesor Madya Dr. Wan Mazlina Wan Mohamed, galakan itu diperkukuh dengan insentif pemasangan tempatan sekali gus melonjakkan lagi pembangunan industri berkenaan.

"Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan Malaysia dengan barangan import. Tambahan itu, ia juga secara tidak langsung dapat menggalakkan pemindahan ilmu dan teknologi."

"IMenambahkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran rakyat dalam rangka bentuk pembuatan dan pemasangan motosikal elektrik tempatan," kata Wan Mazlina kepada pemberita, hari ini.

Dalam pada itu, Pakar Automotif, Ts. Dr Helmi Rashid berkata rebat tunai untuk pembelian motosikal elektrik menjadi pendorong terhadap penerimaan rakyat beralih kepada teknologi hijau itu.

Teknologi itu menawarkan pilihan kepada golongan berpendapatan rendah dan pelajar.

"Satu langkah yang baik. Ini kerana ia dapat menggalakkan lagi penggunaan motosikal EV dalam kalangan penunggang-penunggang motosikal di Malaysia.

Contohnya, pelajar di universiti kebanyakannya menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama mereka untuk kampus. Maka, selepas ini mereka ada satu lagi pilihan untuk menggunakan motosikal EV yang mana ia lebih menjimatkan kos dan mengguna pakai elemen teknologi hijau terhadap kelestarian alam sekitar," kata Dr. Helmi Rashid.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan komited memangkin pembangunan industri automotif menerusi pemberian insentif motosikal elektrik pemasangan tempatan (CKD) sehingga RM2,400, dengan peruntukan RM10 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM