fb fb fb fb fb

Rayuan penempatan 332 pegawai perubatan diluluskan

KOTA BHARU, 29 Julai- Kementerian Kesihatan meluluskan rayuan permohonan penempatan 332 pegawai perubatan di seluruh negara yang perlu lapor diri pada Isnin ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kelulusan diberi pada 27 Jun dan 24 Julai lalu selepas menerima 1,843 rayuan daripada 4,155 pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan tetap.

"Jumlah rayuan yang kita terima agak banyak juga iaitu sebanyak 1,843 rayuan yang telah kita peroleh daripada pegawai-pegawai yang telah mendapat penempatan.

"Kita adalah kementerian yang mengambil kira kemaslahatan dan keperluan petugas-petugas kita. Jadi rayuan-rayuan itu diambil kira," kata Zaliha dalam sidang akhbar khas Menteri Kesihatan di sini.

(Dr Zaliha rayuan penempatan 332 pegawai perubatan diluluskan)

Katanya, KKM melihat pelbagai aspek sebelum meluluskan rayuan yang telah dibuat oleh pegawai perubatan.

Menurutnya, KKM telah menyediakan saluran seperti e-mel, google form, rayuan bersemuka dan talian telefon khusus kepada pegawai untuk merayu.

Menurut beliau, pengawai yang telah diluluskan hanya perlu melaporkan diri pada tarikh yang ditetapkan tanpa perlu membawa surat penempatan kerana fasiliti telah mempunyai rekod pegawai yang akan melapor diri.

"Namun, sekiranya pegawai mohon melapor diri dilewatkan daripada tarikh kuat kuasa, pegawai boleh memohon kepada Ketua Jabatan terlebih dahulu dan tarikh itu akan menjadi tarikh kuat kuasa baharu pegawai melapor diri bertugas," katanya.

Media Baharu