fb fb fb fb fb

Rangka manusia ditemukan di Gemas

Foto Hiasan

SEREMBAN, 29 April - Satu rangka manusia dijumpai orang awam di ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelamah, Gemas, Tampin pada pukul 2.10 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintenden Amiruddien Sariman dalam kenyataan berkata, pihaknya ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat berhubung penemuan itu, seterusnya menjumpai rangka manusia iaitu bahagian pinggul hingga kaki di dalam parit kering dan sebuah motosikal.

"Turut dijumpai topi keledar dan tali pinggang serta tengkorak manusia… jarak rangka manusia dengan motosikal itu lebih kurang 15 meter (m), rangka tulang belakang 10m serta tengkorak lebih kurang 80m," katanya.

Beliau berkata rangka berkenaan dihantar ke bilik mayat Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Amiruddien berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan diteruskan bagi mengetahui punca kematian.

TETITIA YUSOFF