
KUALA LUMPUR, 22 Februari – Inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan bakal mencipta gelombang baharu anak muda yang seimbang dalam aspek sahsiah, rohani, intelektual dan sosial sekali gus menggerakkan agenda negara dengan lebih baik.
- Inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan bakal membentuk belia seimbang dari segi sahsiah, rohani, intelektual dan sosial.
- Kerjasama strategik KBS dan JAKIM memperkukuh pembangunan belia holistik berteraskan nilai MADANI.
- Program dilaksanakan di semua negeri dan 113 daerah, melibatkan hampir 15,000 peserta dan jawatankuasa belia di masjid.
- Fokus program pada kepimpinan, pencegahan gejala sosial, aset negara berimpak dan kesejahteraan holistik.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mampu memperkukuh pembangunan belia secara holistik berteraskan nilai MADANI.
“Masjid ini boleh menjadi pusat komuniti dan dalam masa yang sama boleh menarik anak mudalah dengan aktiviti-aktiviti yang sihat, aktiviti yang mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan daripada gejala sosial.”
“Alhamdulillah, terima kasih Kementerian Belia dan Sukan dengan kekuatan mereka, sumber yang ada dengan hal ehwal agama, kita nampak kerjasama ini memperkukuh lagi agenda ini,”katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di sini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata pengisian program akan dibahagikan mengikut kepakaran kementerian masing-masing.
“Di peringkat Hal Ehwal Agama akan mengisi hal-hal kerohanian dan di peringkat KBS akan mengisi dengan kepimpinan program. Jadi dengan harapan di setiap masjid itu ada satu jawatankuasa belia dan peranan masjid bukan hanya tempat beribadah tapi sebuah institusi utk melahirkan lebih ramai lagi generasi yang cemerlang generasi yang baik,” katanya.
Jawatankuasa Bersama KBS-JAKIM, yang diterajui oleh JAKIM dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bertanggungjawab menyelaras aktiviti dan program yang bersesuaian bagi memakmurkan masjid.
Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di setiap negeri serta 113 daerah di seluruh negara yang melibatkan hampir 15,000 peserta.
Penyertaan di setiap negeri disasar melibatkan 400 peserta kecuali di Perlis dan Labuan yang masing-masing 300 peserta, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan di peringkat negeri sebanyak 5,800 orang.
Program ini memberi keutamaan kepada aktiviti keagamaan dan kesukarelawanan berdasarkan empat teras utama iaitu Kepimpinan Pelapis, Pencegahan Gejala Sosial, Aset Negara Berimpak dan Kesejahteraan Holistik.
Dalam majlis sama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyampaikan insentif Ramadan dan Syawal berjumlah lebih RM36 juta kepada 36,490 asnaf di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, 15 institusi pondok dan tahfiz terpilih masing-masing menerima sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Taqwa dan MAIWP.