fb fb fb fb fb

Raja Perlis, Raja Muda Perlis tunai solat sunat Aidilfitri

FOTO RTM

ARAU, 31 Mac- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 rakyat jelata di Dataran Istiadat, Istana Arau di sini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra tiba di perkarangan Dataran Istiadat kira-kira pukul 7.40 pagi diikuti Tuanku Syed Sirajuddin pada 7.45 pagi.

Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis dilaksanakan di tanah lapang yang diselaraskan bermula 7.45 pagi hingga 8.15 pagi, bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Kariah masing-masing.

Di Dataran Istiadat, solat sunat Aidilfitri bermula 8.00 pagi dengan diimamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Selesai solat, baginda berdua turut mendengar khutbah khas bertajuk "Aidilfitri: Fitrah Dalam Kehidupan" yang disampaikan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Baginda berdua kemudian berkenan beramah mesra dengan jemaah yang hadir serta bergambar kenangan bersama mereka.

Turut hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri ialah Menteri Besar Perlis.

SITI AISHAH MD ISA