fb fb fb fb fb

'Raja Bomoh' perlu dinasihat tentang batas akidah, iman

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diminta menasihati 'Raja Bomoh', Ibrahim Mat Zain yang ingin menawarkan bantuan mencari mangsa tanah jerlus secara ritual dan bertentangan akidah Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata individu itu perlu dinasihat tentang batas-batas akidah dan iman supaya tidak terjebak dalam amalan yang membawa penghinaan kepada agama Islam.

"Individu itu telah membuat pengakuan bersalah ketika didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina pada tahun 2017.
 
"Malah, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkannya menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506)," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Na’im juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan sebarang aktiviti ritual yang bertentangan dengan akidah Islam.

Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum kegelisahan umat Islam terhadap kehadiran 'Raja Bomoh' itu di lokasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM