Rafizi diberi tempoh sehingga hari ini jawab surat tujuk sebab

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh/ RTM

KUALA LUMPUR, 28 Februari – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diberi tempoh sehingga 12.30 tengah malam ini untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung keanggotaannya dalam parti PKR.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rafizi diberi tempoh hingga 12.30 malam ini untuk jawab surat tunjuk sebab mengenai keanggotaannya dalam PKR.
  • Isu rujuk Perkara 9.1-C Perlembagaan parti tentang pengisytiharan keluar parti secara teknikal atau substantif.
  • Keguguran keanggotaan boleh menjejaskan kedudukan sebagai Ahli Parlimen; saluran dalaman digalakkan untuk suarakan ketidaksetujuan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh menegaskan surat berkenaan dikeluarkan susulan kenyataan dan tindakan Rafizi yang didakwa menimbulkan persoalan tentang kedudukan beliau dalam parti.

Menurutnya, perkara itu merujuk kepada Perkara 9.1-C Perlembagaan parti yang menyentuh soal kewujudan anggota termasuk pengisytiharan keluar parti sama ada secara teknikal melalui surat rasmi atau secara substantif menerusi kenyataan dan perlakuan.

“Ini berkenaan dengan keanggotaan. Jadi hasrat keluar parti kalau dibaca sebagai substantif keluar parti walaupun tiada surat, implikasinya besar kerana ia boleh mengakibatkan gugurnya keanggotaan.

“Gugurnya keanggotaan boleh mengakibatkan gugurnya Ahli Parlimen.

“Sebab itu saya beri peluang untuk beliau menjawab apa hasrat sebenarnya,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan Program Bazaar Ramadan Rahmah (BPR) di Kampong Bharu, di sini.

Beliau menjelaskan, tindakan berkenaan tidak melibatkan aspek disiplin di bawah Lembaga Disiplin parti, sebaliknya menyentuh soal status keanggotaan yang boleh memberi implikasi terhadap kedudukan sebagai wakil rakyat.

Tambahnya, setiap wakil rakyat yang dipilih atas tiket parti perlu terus mendukung prinsip serta agenda perjuangan parti dan menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan sebarang pandangan atau ketidaksetujuan.