KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Qari kelahiran Palestin, Motaz Hifze Yasin Abusnina, merupakan satu-satunya peserta dari Palestin yang menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2024.
Katanya, meskipun negara kelahirannya masih dalam kemuncak ketegangan, itu tidak mematahkan semangatnya untuk mewakili Palestin di pertandingan tersebut.
Penyertaan beliau membawa mesej kekuatan bangsa Palestin di mata dunia.
"Saya merasa sangat mulia walaupun negara saya dalam keadaan peperangan. Alhamdulillah, Malaysia tetap menjemput saya sebagai peserta tahun ini.
"Saya memang berasa sedih dan susah hati dengan peperangan yang berlaku di negara saya, tetapi saya cukup bangga kerana rakyat Malaysia sangat menyanjung dan mengasihi rakyat Palestin," katanya.
Beliau, seorang imam dan khatib di salah sebuah masjid di Wilayah Khalil, Palestin, telah menghafaz al-Quran sejak berumur 13 tahun.
Tambahnya, ia merupakan pertandingan tilawah antarabangsa kelima yang beliau sertai, setelah sebelum ini pernah bertanding di Turkiye, Maghribi dan Kuwait.
Masuk hari keempat MTHQA 2024, lapan orang peserta telah membuat persembahan, dimulakan dengan peserta Palestin tersebut.