
BALIK PULAU, 12 Januari– Seramai 19,705 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan 2026, melibatkan 396 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang, hari ini.
- Jumlah murid Tahun Satu 2026 di Pulau Pinang ialah 19,705, melibatkan 396 sekolah.
- Terdapat penurunan 492 murid berbanding tahun lalu, dipercayai disebabkan kadar kelahiran yang lebih rendah.
- Pembukaan sekolah disertai aktiviti orientasi untuk membantu murid menyesuaikan diri.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata data itu menunjukkan pengurangan sebanyak 492 murid berbanding tahun lalu, dipercayai didorong faktor kadar kelahiran di negeri itu.
Jelasnya, pelajar akan diberi ruang menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah menerusi aktiviti orientasi dalam tempoh minggu pertama.
“Ia seramai 9,558 murid perempuan dan 10,147 murid lelaki, sekali gus menunjukkan jumlah murid lelaki lebih ramai berbanding perempuan pada tahun ini. Jika diperincikan mengikut kaum, majoritinya ialah 12,755 murid Melayu, diikuti 5,022 murid Cina, 1,514 murid India dan 414 murid daripada kaum lain.”
“Secara keseluruhan, jumlah murid pada tahun ini adalah 19,705 orang di seluruh negeri Pulau Pinang. Tahun lalu, jumlah murid direkodkan seramai 20,167 orang, manakala tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 492 murid. Penurunan ini mungkin dipengaruhi faktor kadar kelahiran,” kata Mohamad Dziauddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau hari pembukaan sekolah kalender akademik sesi 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh, Balik Pulau.