fb fb fb fb fb

PuLaMI anjur SLU, tingkat kefahaman institusi bawah KPM

Foto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

TANJONG MALIM, 20 Ogos- Pusat Latihan Mengajar dan Latihan Industri (PuLaMI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program menyelaras dan meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan latihan mengajar, latihan perindustrian di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia disertai 20 wakil pihak KPM, 16 wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh Malaysia, 20 wakil daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam serta 120 wakil Institusi Pendidikan Tinggi Swasta hadir dalam Sesi Libat Urus (SLU) KPM bersama-sama Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Ismail Ibrahim di Bilik Seminar Aminudin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.

"Latihan Mengajar dan Latihan Industri sangat memberi impak yang signifikan kepada warga institusi pendidikan bawah KPM," katanya.

"Platform ini bukan sahaja untuk guru pelatih atau pelajar mendapatkan pengalaman sebenar menjadi seorang pendidik tetapi juga adalah platform pertukaran ilmu, pengalaman dan kemahairan antara guru pelatih dan guru terlatih," ujar beliau.

Menurut Ismail, perkembangan teknologi pesat memberi impak besar kepada dunia pendidikan negara.

"Kehadiran guru pelatih atau pelajar IPT yang kebanyakkan terdiri daripada Gen Z dilihat mampu menjadi pendorong kepada guru Milenial (Gen Y) dan guru Gen X kerana mereka sangat mahir mengendalikan pelbagai aplikasi gajet, mereka secara tidak langsung dapat berkongsi kemahiran dengan guru terlatih sedia ada di sekolah," tambah beliau.

Terdapat tiga perkara dibincangkan iaitu prosedur kebenaran untuk ke sekolah bagi melaksanakan latihan mengajar; prosedur permohonan permit mengajar; dan elaun praktikal.

Sementara itu, Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata, universiti itu menyokong usaha KPM mengadakan Sesi Libat Urus (SLU).

"Untuk rekod, pihak UPSI sendiri mengeluarkan seramai lebih 3000 mahasiswa bagi menjalani Latihan Mengajar dan Industri Kaunseling dan lebih 3000 mahasiswa bagi menjalani program Perantis Guru di sekolah dan institusi pendidikan terlibat setiap tahun.

"Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu PuLaMI, UPSI mengendalikan pengurusan penempatan Latihan Mengajar dan Perantis Guru dengan lebih sistematik dalam masa akan datang," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Unit Khidmat Nasihat (Dasar dan Perundangan), Pejabat Penasihat Undang-Undang, KPM, Pn. Hanim Abdul Rahman; Penolong Pengarah, Unit Gubalan Akta dan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Noraini Abdul Latif; Pengarah, Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Prof Madya Dr. Ashardi Abas serta Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril turut hadir program berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI