PSSS dekati komuniti luar bandar, perkasa sokongan kesejahteraan mental

Datuk Seri Nancy beramah mesra bersama penduduk Kampung Terusan Jaya

SEMATAN, 7 Februari – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kepada penduduk luar bandar, khususnya bagi menyediakan sokongan psikososial dan kesejahteraan mental kepada masyarakat setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSSS menawarkan aktiviti psikososial dan kaunseling berasaskan empati untuk sokongan emosi komuniti luar bandar.
  • Perkhidmatan dikendalikan kaunselor berdaftar bagi memberikan khidmat nasihat dan sokongan kepada individu serta keluarga.
  • Kerjasama komuniti dan YKN disokong melalui projek baik pulih surau serta peruntukan dan bantuan praktikal.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata menerusi PSSS, pelbagai aktiviti psikososial ditawarkan bagi membantu individu dan keluarga yang memerlukan sokongan emosi serta bimbingan.

“Penggunaan slogan ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ yang menjadi identiti rasmi PSSS mencerminkan pendekatan perkhidmatan berteraskan empati dan keprihatinan dalam membantu masyarakat.

“Pada masa sama, penganjuran program ini membolehkan perkhidmatan KPWKM dan agensi-agensinya dibawa secara langsung ke peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ serta Program Khidmat Komuniti Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang berlangsung di Surau An-Nur, Kampung Terusan Jaya, di sini.

Datuk Seri Nancy berkata, PSSS dikendalikan oleh kaunselor berdaftar dan berpengalaman yang menyediakan sesi kaunseling, khidmat nasihat serta sokongan emosi kepada individu dan keluarga yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada YKN atas inisiatif menjayakan aktiviti gotong-royong serta kerja-kerja mengecat Surau An-Nur.

Beliau juga meluluskan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih surau berkenaan dengan skop pelaksanaan yang akan ditentukan kelak, selain meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Surau An-Nur Kampung Terusan Jaya bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program setempat.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Nancy turut menyampaikan Kotak Kit Jenazah sebagai persediaan asas pengurusan jenazah, sekali gus membantu melancarkan pelaksanaan urusan fardu kifayah dengan lebih teratur di peringkat komuniti.