Proses penggubalan undang-undang telus, berstruktur

M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Sesi libat urus dijalankan secara berfasa dan berstruktur dengan konsisten sepanjang proses penggubalan sebarang Rang Undang-Undang (RUU) serta akta utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi libat urus dilaksanakan berfasa dan berstruktur melibatkan kementerian, agensi, NGO, dan ahli akademik.
  • Input akar umbi diagihkan luas melalui banyak siri libat urus negeri dan melibatkan pelbagai kumpulan berkepentingan.
  • Proses bertujuan memastikan kualiti penggubalan undang-undang tinggi dan mengambil kira suara semua pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, pendekatan itu diambil dengan melibatkan
pelbagai pihak antaranya kementerian dan agensi pelaksana, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik.

Langkah itu amat signifikan untuk mendapatkan pandangan dan input masyarakat akar umbi terhadap cadangan dasar; sebelum dimuktamadkan.

“Bagi RUU Pendanaan Politik yang sedang diteliti, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan sebanyak 20 siri sesi libat urus (SLU) bersama-sama
pihak berkepentingan pada peringkat akar umbi.

“Daripada jumlah itu, 12 siri SLU peringkat negeri melibatkan penyertaan 1,544 peserta merangkumi pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri, parti politik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, wakil dewan
perdagangan, persatuan perniagaan, NGO, CSO, ahli akademik dan golongan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berhubung tindakan kerajaan
memastikan kualiti penggubalan undang-undang sentiasa tinggi dan tidak tergesa-gesa, khususnya bagi undang-undang yang mempunyai implikasi besar
kepada hak rakyat dan ekonomi.

M. Kulasegaran menjelaskan tindakan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan suara semua pihak berkepentingan diambil kira dalam proses penggubalan undang-undang.