fb fb fb fb fb

Projek rintis pengurusan sisa pepejal diperluas ke 15 kampung

KANGAR, 7 Mac- Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal ke seluruh negeri Perlis termasuk ke kawasan-kawasan kampung, 15 kampung terpilih sebagai Kampung Perintis Sisa Pepejal yang melibatkan 15 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Projek ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dengan sokongan pihak Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurut ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling, bagi fasa satu yang bermula hari ini, Kampung Behor Gandil dalam DUN Indera Kayangan dipilih sebagai lokasi pertama pengagihan tong sampah berkapasiti 120 liter melibatkan 91 kediaman.

Pengagihan bagi fasa pertama ini akan diteruskan ke 6 kampung lain iaitu Kampung Gial, Mata Ayer, Kampung Pida 3 Baru, Simpang Empat, Kampung Jejawi Sematang, Sena, Kampung Sungai Padang, Sanglang, Kampung Chelong, Chuping dan Kampung Batu Hampar, Beseri.

Secara keseluruhannya, bagi fasa pertama bermula hari ini hingga 15 Mac ini melibatkan 1,094 premis kediaman.

Projek rintis ini melibatkan kerjasama strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Majlis Perbandaran Kangar, E-Idaman Sdn Bhd, Pusat Khidmat Wakil Rakyat setiap DUN dan JPKK setiap kampung.

Selesai pengagihan tong sampah bagi fasa pertama ini, projek rintis bagi lapan buah kampung melibat lapan DUN lagi akan diteruskan selepas 15 Mac ini.

Media Baharu