
SEMENYIH, 27 Januari – Tanah rizab Melayu yang terlibat dalam Projek Jalan Pintasan Semenyih, termasuk pembinaan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) di Hulu Langat, Selangor akan diganti semula di kawasan lain.
- Kerajaan jamin Tanah Rizab Melayu yang digunakan untuk projek awam akan diganti.
- Pengambilan tanah untuk jalan dan prasarana hanya dengan penyelesaian yang adil.
- Projek mesti patuhi peraturan dan prosedur tanpa kelewatan jika syarat dipenuhi.
- Pembangunan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan telus tanpa korbankan rakyat tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan jalan dan prasarana awam tidak akan dibuat tanpa penyelesaian yang adil, termasuk penggantian tanah sekiranya perlu.
Menurut beliau, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut memberi jaminan akan menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya pun dengar sendiri, soal termasuk status tanah rizab Melayu saya tidak bertolak ansur. Kalau kita terpaksa ambil kerana pembangunan jalan, kita akan ganti.
“Ini jaminan daripada Menteri Besar (Amirudin). Kemudian, projek yang lain kita uruskan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar menegaskan, setiap projek perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan namun proses kelulusan tidak wajar dilengah-lengahkan sekiranya semua syarat telah dipenuhi.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa pembangunan negara tidak boleh berlaku dengan mengorbankan kepentingan rakyat tempatan, sebaliknya mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab dan telus.