JOHOR BAHRU, 9 Mac – Projek Transit Laju Autonomi Bertingkat (E-ART) di tiga koridor utama di Johor dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Permohonan Cadangan Projek (RFP) bagi E-ART akan dibuka pada bulan ini.
Perkembangan itu dimaklumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Muhammad Razman Abu Samah, bagi membincangkan inisiatif pengangkutan awam di negeri itu.
Pengoperasian E-ART dijangka memperluaskan akses pengangkutan awam di tiga kawasan utama, iaitu Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.
Inisiatif itu juga dilihat dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan selain membantu mengurangkan kesesakan trafik.