
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Seramai 22 nelayan berpotensi telah dikenal pasti untuk menerima bantuan peralatan serta input ternakan membabitkan anggaran peruntukan RM500,000 menerusi Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (Program TEMAN-AKUA).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata daripada jumlah itu, 10 peserta dari Perlis, Negeri Sembilan (lima) dan Melaka (tujuh).
- 22 nelayan terpilih menerima bantuan peralatan, input ternakan dan latihan untuk projek TEMAN-AKUA.
- Kerajaan memperuntuk RM7.8 juta untuk memperkukuh pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan kawasan perikanan.
- Usaha termasuk penetapan zon tangkapan, penambahan taman laut dan pendidikan komuniti bagi kurangkan konflik dan pulihkan stok ikan.
“Bantuan yang diberikan turut merangkumi latihan pemindahan teknologi, peningkatan kapasiti teknikal dan khidmat nasihat bagi memastikan peserta mampu mengendalikan projek akuakultur secara berdaya maju.
Bidang akuakultur ini banyak membantu daripada sudut Nisbah Sara Diri (SSR) dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila kadar SSR hampir mencecah lebih 90 peratus,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan menangani isu tangkapan hasil laut yang berkurangan berikutan pembangunan pesat di kawasan pantai.
Menjawab pertanyaan Senator Datuk Wu Him Ven, Datuk Seri Mohamad berkata kerajaan memandang serius isu pencerobohan kawasan tangkapan antara nelayan Melaka dan Negeri Sembilan yang bukan sahaja melibatkan pematuhan undang-undang tetapi juga berkait rapat dengan kelestarian sumber serta keharmonian komuniti nelayan.
Sehubungan itu, katanya kerajaan memperuntukkan RM7.8 juta pada tahun ini untuk memperkukuh pelaksanaan sistem pemantauan, kawalan dan pengawasan termasuk penyelarasan tindakan penguatkuasaan.
“Di kawasan pantai, Zon A ditetapkan sehingga lima batu nautika, Zon B (12 batu nautika) dan Zon C ke kawasan laut dalam. Semua itu perlu dilihat secara menyeluruh bagi menjaga kawalan sumber ikan di kawasan pantai kita,”katanya.
Kerajaan turut memperbanyak aktiviti perikanan semula di kawasan pantai serta bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menambah taman laut dan kawasan larangan tangkapan bagi membolehkan pembiakan semula ikan.
Selain itu, pendekatan pencegahan melalui advokasi berterusan, pendidikan mengenai zon tangkapan dan penyebaran maklumat kepada komuniti nelayan juga akan dipertingkat bagi mengurangkan konflik di lapangan.
Senator Datuk Wu ingin tahu langkah dan mekanisme diambil bagi menangani pencerobohan kawasan tangkapan antara nelayan Negeri Sembilan dan Melaka yang sering berulang.
Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia dari 2021 hingga 2025, sebanyak 137 kes tangkapan direkodkan di Melaka dan 14 di Negeri Sembilan melibatkan pelbagai pelanggaran di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317).