fb fb fb fb fb

Program SMART SBB Ala Sekinchan akan diperhebat- Mat Sabu

Datuk Seri Mohamad Sabu menyempurnakan Program Santai Agro Madani Penuaian Program SMART SBB Ala Sekinchan di Besut, hari ini.

BESUT, 29 Oktober- Kerajaan sedang memperhebatkan lagi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia bagi menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan musim tengkujuh.

Antaranya Projek Kawasan Bersepadu (IADA) di Terengganu Utara (KETARA) yang kini menunjukkan peningkatan peratusan pengeluaran padi yang tinggi hampir sekali ganda, menggunakan konsep program berkenaan.
 
"SMART SBB Ala Sekinchan yang dilaksanakan di KETARA IADA seperti yang dilaporkan tadi, hasil dijangka mungkin tujuh hingga lapan tan per hektar. satu kenaikan  hampir 100 peratus yang sebelum ini secara umumnya di Malaysia sekitar empat tan. Kita harap program berskala besar ini akan diteruskan  di tempat-tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Santai Agro Madani Penuaian Program SMART SBB Ala Sekinchan di Dewan Terbuka Kampung Gerai di sini hari ini.

Mohamad berkata SMART SBB Ala Sekinchan yang diperkenalkan akhir tahun 2021 sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan meneliti semula jadual penanaman padi terutama di negeri Pantai Timur bagi membolehkan padi dituai sebelum musim tengkujuh. 

Hal itu katanya bagi mengurangkan kerugian ditanggung petani yang mempunyai sawah di kawasan berisiko banjir.
                                                                  

ZEHRA BINTI ZAMBRI