fb fb fb fb fb

Program 'Setahun Bersama Kerajaan Madani', tawar pelbagai pengisian menarik

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 28 November- Pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung reruai Kementerian Perladangan dan Komoditi bersempena dengan program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula 8 Disember ini.

Para pengunjung akan didedahkan dengan maklumat berkaitan bidang perkhidmatan bagi sektor sawit, getah, kayu-kayan, kenaf, lada dan biojisim menerusi demonstrasi, pameran dan jualan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari, melibatkan semua agensi bawah kementerian berkenaan berserta lain-lain kementerian.

"Demonstrasi yang akan kita adakan adalah antaranya bagaimana kita nak membuat coklatlah daripada biji koko. Saya mengharapkan ia bolehlah memberi ilmu kepada mereka yang berminat dalam sektor koko. Selain itu, banyak lagi demonstrasi dan pameran lain seperti pembuatan sabun dan sebagainya.

Jadi, orang ramai dijemput hadir, ambil peluang untuk datang melihat sendiri apa yang disediakan. Produk-produk hasilan daripada rakyat kita. Bukan sahaja boleh beli minyak minyak sawit dengan harga yang lebih murah tetapi juga bidang-bidang lainlah," kata Fadillah kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Selamat Pagi Malaysia, pagi tadi.

Beliau yang juga merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi ditemui media selepas berkongsi pencapaian kementeriannya sepanjang 'Setahun Bersama Kerajaan Madani', dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM