fb fb fb fb fb

Program seminar ilmu, pupuk semangat cintakan negara

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 9 Mei- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan terus menganjurkan program-program mengumpulkan pelbagai ilmuan bagi memberi pencerahan kepada masyarakat terhadap sesuatu permasalahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu penting bagi memastikan perselisihan dan perbezaan terhadap perkara furu tidak mewujudkan perasaan benci sehingga munculnya golongan pelampau.

"Daripada aspek dakwah, daripada aspek pencerahan dan pencerdasan, kita akan meneruskan usaha-usaha sebegini untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat kerana kita yakin bahawa sekiranya gelombang kefahaman, kedamaian di bawah kerangka yang ada pada hari ini, boleh mengalahkan mana-mana fahaman yang cuba untuk menerbitkan bibit-bibit perpecahan."

"Kita juga yakin dengan fiqh syafie dengan hubbul watan yang kita adakan pada hari ini dapat mewujudkan masyarakat yang terbuka, masyarakat yang damai, yang rahmah, yang sentiasa hormat menghormati diantara satu sama lain," kata Dr Zulkifli kepada pemberita pada seminar “Fiqh Syafie Memperkukuh Semangat Hubbul Watan Dalam Kalangan Masyarakat Islam”, di sini.

Jelas Dr Zulkifli, golongan ustaz dan juga ustazah perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyemarakkan semangat hubbul watan atau cintakan tanah air.

Program tersebut turut menghimpunkan tokoh-tokoh ulama dan ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara bagi tujuan membina jaringan ilmu serta memberi kefahaman kepada masyarakat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM