fb fb fb fb fb

Program Semarak Merdeka UPM kukuhkan jati diri, patriotisme

Foto UPM

SERDANG, 29 Ogos -Warga Universiti Putra Malaysia (UPM) berganding bahu menjayakan Program Semarak Merdeka 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, sebagai usaha mengukuhkan jati diri dan patriotisme.

Naib Canselor Datuk Profesor Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, program itu mencerminkan nilai kebersamaan dan kerjasama yang menjadi asas kekuatan universiti.

"Aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini dapat memberi semangat kepada warga UPM untuk menghayati erti kemerdekaan dengan lebih mendalam, di samping menzahirkan rasa cintakan negara yang perlu dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat universiti.

"Saya yakin Semarak Merdeka berjaya menggalakkan warga kampus menghayati makna kemerdekaan melalui semangat kerjasama pasukan, kebersamaan tanpa mengira pangkat serta komitmen yang tinggi. Nilai ini amat penting untuk diterjemahkan dalam semua aspek pencapaian kita, khususnya bagi merealisasikan kerangka Strategik True North UPM," katanya, di sini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kebudayaan Sultan Abdul Aziz Shah (PKSAAS), Husalshah Rizal Hussian berkata objektif utama program itu adalah menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan warga kampus berjiwa nasional dan sarat dengan semangat patriotisme.

"Semarak Merdeka bukan sekadar wadah untuk meraikan sambutan kemerdekaan, tetapi menjadi platform penting membina rasa kekitaan dan mengukuhkan ikatan kerja berpasukan antara kakitangan pelbagai peringkat serta kaum.

"Ia turut menekankan nilai ihsan, hormat-menghormati, kesejahteraan warga serta budaya kampus yang inklusif dan meraikan kepelbagaian komuniti akademik, pentadbiran dan sokongan," ujarnya.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk pertandingan koir membabitkan penyertaan 23 pusat tanggungjawab (PTJ), persembahan puisi dengan 68 peserta serta acara kibar Jalur Gemilang yang disertai 33 PTJ.

Program Semarak Merdeka 2025 selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan membawa mesej jelas bahawa patriotisme merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diterapkan dalam setiap aspek kehidupan warga universiti tanpa mengira latar belakang, bangsa atau jawatan.

TETITIA YUSOFF