Program Reel MADANI@Kampus, buka ruang mahasiswa teroka industri perfileman

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mei– Program Reel MADANI@Kampus anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus membuka ruang kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk berkecimpung dalam bidang perfileman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima geran menerima RM25,000 untuk merealisasikan projek filem pendek, melahirkan keterujaan dan motivasi menghasilkan karya berkualiti.
  • Mahasiswa UiTM menghargai pengiktirafan FINAS, berharap inisiatif ini dikekalkan setiap tahun dan mengukuhkan tenaga kerja industri tanpa bergantung kepada AI.
  • SST diserahkan kepada 15 IPT, memberi platform kepada mahasiswa menghasilkan reel berkonsep MADANI; pengurusan kewangan dan praproduksi tersusun penting.

Kesemua penerima geran yang ditemui RTM meluahkan rasa teruja selepas berjaya memperoleh dana berjumlah RM25,000 bagi merealisasikan projek filem pendek masing-masing.

Dua penerima geran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shannon Irfan Mohamad Elisadikin dan Muhammad Danish Haron, menyifatkan pemilihan tersebut sebagai rezeki serta pemangkin semangat untuk menghasilkan karya perfileman yang lebih berkualiti.

Mengulas lanjut, Shannon Irfan menyifatkan peluang itu amat bermakna ekoran saingan sengit daripada pelbagai IPTA seluruh negara bagi melepasi penilaian (pitching) idea kreatif bertemakan Malaysia MADANI manakala Muhammad Danish menzahirkan penghargaan tertinggi kepada FINAS atas pengiktirafan tersebut.

“Kami sangat teruja untuk menghasilkan jalan cerita ini serta melakukan persiapan bagi merealisasikan impian para pelajar yang menerima geran tersebut. Kami tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan, sebaliknya akan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan projek ini dalam bidang perfileman.”

“Saya berasa sangat gembira apabila pihak kerajaan atau kementerian mengambil inisiatif ini dan menjadikannya, jika boleh, sebagai insentif tahunan. Industri filem kita semakin berkembang dan semakin maju. Jika boleh, kita mahu terus memperkukuh lagi tenaga kerja sedia ada, serta tidak terlalu bergantung kepada kandungan yang dijana oleh AI,” kata Shannon Irfan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak FINAS kerana memberi peluang kepada para pelajar, khususnya mahasiswa seperti saya, untuk menghasilkan karya yang berteraskan konsep MADANI.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang ini. Tidak ramai yang terpilih kerana terdapat berpuluh-puluh IPTA yang turut menyertai sesi pitching dan membentangkan idea masing-masing. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan idea yang bernas dan kreatif. Oleh itu, saya amat bersyukur kerana telah berjaya melepasi peringkat pitching tersebut.”

“Saya melihat inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini sebagai satu langkah yang baik. Namun, saya berharap agar pada masa akan datang, penyertaan dapat diperluaskan lagi seperti pertandingan sebelum ini yang pernah melibatkan sehingga beratus IPTA,” kata Muhammad Danish.

Sementara itu, penerima geran dari Universiti Sains Malaysia (USM), Hazimi Sidek teruja dengan peluang besar tersebut bagi pelajar IPT merealisasikan idea kreatif mereka.

Menurutnya, fokus utama kini adalah memastikan pengurusan kewangan yang baik serta kelancaran fasa praproduksi bagi mengelakkan masalah komunikasi dan memastikan proses penggambaran lebih tersusun.

“Saya berasa amat gembira kerana ini merupakan sebuah projek yang sangat besar buat pelajar IPT seperti kami. Peluang menerima geran ini membolehkan kami menghasilkan projek berskala besar, sekali gus meneroka selok-belok industri perfileman yang sebenar.”

“Harapan saya, program seumpama ini dapat dikekalkan setiap tahun supaya pelajar IPT mempunyai ruang untuk terus meneroka serta mengembangkan lagi bakat kreatif mereka,” kata Hazimi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Reel MADANI@Kampus kepada 15 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam Majlis Penutupan sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pavilion Bukit Jalil, di sini.

Program tersebut bertujuan menyediakan platform buat golongan mahasiswa menghasilkan kandungan video pendek (reel) yang kreatif, berkualiti, dan berteraskan nilai Malaysia MADANI bagi penyertaan ke Festival Filem Pendek dan Video (FFPV) anjuran FINAS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.