
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Keselamatan sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan sempena perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
- Rondaan siang dan malam, sekatan jalan raya serta pasukan khas dipergiat untuk mengekang jenayah rentas sempadan.
- Penggunaan dron dipergiatkan dan kawat duri dipasang di 28 pengkalan haram sebagai langkah pencegahan penyeludupan.
- Penugasan tambahan anggota PGA termasuk Op Tiris dan OTWK diteruskan, orang ramai diminta menyalurkan maklumat.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersiap siaga dalam mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.
Komander Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, SAC Ahmad Radzi Hussain menyatakan langkah penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berterusan melalui penugasan anggota di barisan hadapan seperti rondaan siang dan malam.
Beliau berkongsi, rondaan melibatkan sekatan jalan raya dan pintasan pasukan khas ‘strike force’ serta pemantauan lorong tikus dan pergerakan berunsur elemen risikan di kawasan ‘hotspot’ aktif dipergiatkan.
Radzi juka memaklumkan selain kekuatan operasi sedia ada, Briged Tenggara PGA turut mempergiat penggunaan dron. Penggunaan teknologi tersebut terbukti membantu pasukan operasi dalam mengesan serta mengekang pelbagai aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.
Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan, pemasangan kawat duri di 28 pengkalan haram di kawasan sempadan terus dijadikan antara elemen pencegahan utama bagi menghalang aktiviti rentas sempadan secara haram serta penyeludupan.
Dalam musim perayaan sebelum ini, seramai 322 Pegawai Kanan Polis (PKP) dan Pegawai Rendah Polis (PRP) daripada Batalion 7 PGA telah diatur gerak menerusi penugasan OTWK, manakala seramai 58 PRP daripada Batalion 9 PGA telah ditugaskan dalam Op Tiris (Barang Kawalan) bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan.
Pendekatan sama akan diteruskan sepanjang tempoh sambutan Aidiladha berdasarkan penilaian ancaman semasa serta keperluan operasi dari masa ke semasa.
Radzi menyeru orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan bagi memastikan keselamatan negara sentiasa berada dalam keadaan terkawal.