KUALA LUMPUR, 3 Jun - Program Pengakuan Sukarela (PKS) akan dilaksanakan semula sebagai salah satu inisiatif bagi memperluaskan bilangan pembayar cukai, meningkatkan tahap pematuhan cukai dan hasil negara.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, PKS memberi peluang kepada orang ramai untuk secara sukarela membayar cukai yang bertanggungan tanpa sebarang penalti atau pada kadar sifar peratus.
"Ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024," kata kementerian itu menerusi kenyataan pada Jumaat.
MOF memaklumkan, butiran lanjut dan terperinci mengenai pelaksanaan program tersebut boleh didapati melalui laman sesawang rasmi JKDM dan LHDNM.