BANDA HILIR, 2 Jun- Melihat impak positif yang diterima hasil penganjuran bulan pertama program Melaka Bila Larut Malam, beberapa penambahbaikan dan kelainan akan dibawa pada penganjurannya bulan hadapan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh optimis sambutan diterima pada bulan hadapan akan lebih menggalakkan dengan penglibatan lebih banyak pihak.
Ia sekali gus mampu menambah pendapatan penggiat industri pelancongan.
"Dia ada kelainan, pastinya ada kelainan pada bulan kedua.
"Menjurus ke bulan 12, kita ada pelbagai program yang akan diperkenalkan, pastinya ada pakej-pakej baharu yang untuk menggalakkan ramai lagi pengunjung datang ke Melaka.
"Jadi pihak-pihak pengusaha hotel, 'homestay', hotel-hotel bajet juga akan mendapat faedah daripada program yang sedang kita lancarkan ini," katanya kepada pemberita di sini.
Melaka Bila Larut Malam yang berlangsung bermula malam tadi menyaksikan Zoo Melaka dan 'Melaka River Cruise' menerima kehadiran pengunjung tertinggi dengan lebih 4,000 tiket terjual sepanjang operasinya bermula pada pukul 10.00 malam hingga 2.00 pagi.
Muzium dan Galeri Melaka, Muzium Penjara, Menara Taming Sari serta Panggung Bangsawan turut memanjangkan operasinya bersempena program tersebut.
Lebih 40,000 pengunjung memeriahkan program berkenaan.
Orang ramai teruja dengan harga murah yang ditawarkan di enam lokasi pelancongan.
"Saya datang lapan orang dengan 'family' saya lepas itu, jadi kita dapat tahu di Facebook ada 'offer' ini.. itu yang datang, jalan-jalan, berbaloi sangat," kata pengunjung, Isdharmawan Ismail.
"Semalam orang beritahu ada diskaun. Itu yang pergi.. oklah sebab anak ramai, berbaloi jugalah," kata pengunjung, Nurfaraliana Abdul Talib.
Bagi penggiat industri pelancongan, pelaksanaan program itu memberi impak positif kepada mereka.
"Memang dapat jana pendapatan lebih sikitlah dengan orang lain datang, selain mereka naik Taming Sari, mereka datang untuk membeli juga buat masa ini. Bagus program macam ini, dapat jana pendapatan orang sekeliling," kata peniaga, Norliza Mohamad Yusof.
"Untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa, apa yang kita boleh buat mungkin selepas ni tiket RM10 ini mungkin kita boleh jual lebih awal.. mungkin satu atau dua hari lebih awal kerana dari situ kita boleh menganggarkan masa untuk kita menjalankan program ini, kerana buat masa sekarang, kita agak terbatas kerana kita tak tahu berapa ramai orang yang datang mengunjung. Oleh itu kita agak terbatas daripada segi masa," Ketua Pengawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nasrul Ahmad.
Melaka Bila Larut Malam adalah satu lagi inisiatif kerajaan Melaka untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024).
Program tersebut diadakan pada hari Sabtu, minggu pertama setiap bulan.