fb fb fb fb fb

Program Mai Derma Darah, sasar 600 pek darah

Sebanyak 600 pek darah disasarkan didermakan sepanjang tahun ini menerusi 12 siri Program Mai Derma Darah.

KANGAR, 30 Januari- Sebanyak 600 pek darah disasarkan didermakan sepanjang tahun ini menerusi 12 siri Program Mai Derma Darah.

Ini menerusi program khidmat sosial oleh Puteri UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata sebanyak lapan siri Program Mai Derma Darah telah berjaya dilaksana dengan 400 pek darah didermakan oleh masyarakat, tahun lalu.

"Berdasarkan penggunaan sebanyak 700 pek darah setiap bulan di Hospital Tuanku Fauziah, usaha melaksanan program setiap bulan itu mampu menampung stok bekalan darah yang diperlukan.

"Keperluan darah diperlukan untuk pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan, komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, kanser, kegagalan buah pinggang termasuk mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal.

"Setiap kali penganjuran, sasaran ditetapkan sebanyak 50 pek darah didermakan yang mana ada ketikanya melebihi sasaran ditetapkan hasil keprihatinan masyarakat setempat khususnya dikalangan penderma tegar," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, bagi bulan Januari ini, sebanyak 42 pek darah didermakan menerusi Program Mai Derma Darah Siri 1 2024.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM