fb fb fb fb fb

Program kunjungan Kementerian Pendidikan Afghanistan mengikut panduan, nasihat

Foto KPM

KUALA LUMPUR, 21 November- Program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan dilaksana mengikut panduan dan nasihat Kementerian Luar.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), delegasi itu berhasrat menjadikan Malaysia sebagai model terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut.

Pendekatan itu juga merupakan usaha untuk menyokong pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan.

Selain kesiapsiagaan untuk memberi bantuan kesihatan dan kemanusiaan, inisiatif itu juga menyumbang kepada kemajuan sosial Afghanistan.

"Pembentangan menyeluruh berkaitan sistem pendidikan negara turut dibuat meliputi aspek pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.

"Ia mempamerkan sistem pendidikan inklusif yang memfokuskan peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

"Selaras Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk menghapuskan kesenjangan jantina dan kesamarataan menyeluruh di semua peringkat pendidikan," menurut kenyataan itu.

Kunjungan itu disifatkan mampu memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan berkait model pendidikan negara Islam moden yang terbaik dan disegani di peringkat antarabangsa.

Justeru, komitmen KPM itu juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM