FOTO FB SUK NEGERI SEMBILAN
SERI MENANTI, 14 Januari - Mana-mana individu yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama harus bekerjasama dalam merangka program khas pasca bencana.
Perkara itu bagi membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif, agar dapat mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda.
Demikian titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhmum Tuanku Munawir yang berpandangan program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling perlu diadakan bagi membantu inidividu yang menghadapi masalah susulan bencana dan musibah yang melanda.
"Bencana dan musibah yang melanda, menyebabkan perubahan luar biasa berlaku secara mendadak dalam kehidupan dan persekitaran, perubahan ini tidak harus dipandang remeh kerana kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan. Mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling," titah baginda pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-74 di Istana Besar Seri Menanti.
Berkenan berangkat sama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Seramai 410 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 Tuanku Muhriz.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai penerima dan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Dalam pada itu, seramai 22 individu dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk termasuk Penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama pada hari ini membabitkan 107 penerima, sesi kedua pada 22 Januari dan sesi ketiga pada 27 Januari nanti.