KUALA LUMPUR, 11 Februari - Rakyat perlu diberi pendedahan lebih banyak mengenai kepentingan menabung untuk masa depan.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, meskipun kadar penyimpanan di akaun PTPTN meningkat RM 3.01 bilion berbanding 10 tahun lalu, program dan kempen kesedaran mengenainya perlu diperhebat.
Ini memandangkan, bukan mudah untuk menimbulkan kesedaran tentang pentingnya menabung terutama untuk keperluan pendidikan anak-anak.
"Realitinya kesedaran menabung masih kurang. Walaupun ada kejayaan tapi setakat ini masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah penabungan yang kita ada. Ada yang menyimpan ada yang menabung tapi dia sediakan untuk benda-benda lain dahulu. Pendidikan kurang diberikan tumpuan.
"Sebab itu PTPTN buat pelbagai program. Pegawai-pegawai saya turun ke kampung, ke masjid berjumpa dengan Penghulu, berjumpa dengan Ketua Kampung dengan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi dan memperkenalkan produk-produk penabungan dan memaklumkan mengenai insentif yang ada", katanya kepada RTM.
Datuk Wan Saiful juga optimis, PTPTN sentiasa bersedia untuk menyediakan khidmat dan produk penabungan terbaik kepada rakyat.
"Sebenarnya di PTPTN, produk penabungan insentifnya banyak. Dari segi pelepasan cukai, takafulnya, dividen yang kompetatif untuk akaun simpanan tetapi masyarakat tidak tahu dan kita akan teruskan dengan usaha untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai manfaat tabung-tabung kita sediakan dan kita harap masyarakat akan sambut dengan penabungan yang lebih banyak", katanya.